Pages

Saturday, June 8, 2013

PERMAINAN WAU

Permainan layang-layang, juga dikenali dengan nama wau merupakan satu aktiviti menerbangkan layang-layang tersebut di udara. Perkataan “wau” dikatakan berasal dari perkataan kerajaan Melayu Pattani (Thai) memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut.
Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja. Selain itu kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi "wau" secara berirama.
Permainan wau diadakan sebagai hiburan untuk pelbagai peringkat umur. Permainan wau juga diadakan untuk pertandingan. Pertandingan yang melihat bentuk kecantikannya diukur dari segi keindahannya kepada bentuk, corak ciptaan, warna, keaslian ciptaan dan ukurannya.

                 

Cara bermain

Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang juruanjung yang memegang wau dan seorang jurutarik yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.
Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.

Istilah

  • anjun / anjung (Kelantan) / lambung -- Proses menjulang wau untuk naik ke udara.
  • gelanggang permainan -- Tempat untuk menaikkan wau lazimnya disempadani oleh pagar, pokok, parit dan khemah di sekelilingnya.
  • hulur -- Keadaan menghulurkan tali memanjangkan tali wau.
  • indang -- Kedudukan wau yang dinaikkan yang terkawal dalam kedudukan 90°.
  • juruanjung -- Orang yang menganjung atau melambung wau.
  • jurutarik -- Orang yang menarik atau mengendalikan tali wau semasa dinaikkan.
  • juruwau -- Orang yang menyediakan peralatan permainan dan padang serta perundangan wau dan juga mengetahui peraturan wau dalam satu-satu pertandingan.
  • kawasan permainan -- Kawasan keseluruhan tempat pertandingan wau diadakan.
  • markah dengung -- Markah yang dikira pada bunyi dengung semasa wau dinaikkan.
  • markah kecantikan -- Markah yang dikira daripada aspek daya cipta, bentuk, corak, hiasan dan warna semasa wau di bumi.
  • markah ketahanan -- Markah yang dikira daripada aspek berapa lama wau dapat bertahan di udara dalam jangka masa sekurang-kurangnya lima minit atau yang telah ditetapkan.
  • markah ketinggian -- Markah yang dikira dari bacaan pancang meter semasa wau berada di udara.
  • masuk pancang -- Kedudukan wau yang melayang tinggi yang dapat dikesan melalui pancang meter.
  • ngedap / selat (Pahang) / selangkung (Kedah, PI.) -- Keadaan wau yang terbalik jatuh menjunam.
  • sarut -- Keadaan tali beberapa buah wau yang bersimpul atau bersilang di udara.
  • senget -- Keadaan wau yang berat sebelah.


Thursday, August 4, 2011

PERMAINAN GULI

Permainan guli biasanya melibatkan lontaran guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun. Jumlah pemain tidak melebihi lima orang.
Kawasan tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli. Biji guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki.

Gelanggang 

Satu bulatan dilukiskan di atas tanah berukuran garis pusat 1 m. Di tengah-tengah bulatan tersebut dilekukkan sebuah lubang sebesar 10 cm lebar dan sedalam 7 cm dengan menggunakan tumit kaki yang dihentakkan ke tanah. Lubang tersebut dinamakan lubang induk. Satu garisan lurus dibina dengan jarak 3 m daripada garisan besar tersebut. Garisan ini adalah sebagai penanda mula tempat permainan.

Cara bermain

Untuk memulakan permainan setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang terhampir adalah dikira sebagai pemain yang pertama memulakan permainan dan diikuti oleh guli-guli kedua hampir dan seterusnya.
Pemain pertama akan menjentik gulinya kepada semua guli yang berada di dalam kawasan bulatan agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia dikira mati dan pemain kedua akan membuat jentikan kepada guli-guli yang ada, begitulah seterusnya sehingga semua pemain selesai membuat jentikan ke atas guli pemain lainnya.
Pemain boleh melepaskan gilirannya tetapi dengan syarat, ia mestilah memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu. Pemain akan memastikan guli miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang induk setiap kali jentikan dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan.
Setiap pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih giliran dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk ke dalam lubang induk, giliran untuk pemain lain diberikan.
Kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua pemain selesai giliran.
Dua cara dendaan akan dikenakan terhadap pemain yang memungut jumlah mata terendah. Pemain yang kalah akan memasukkan guli miliknya kedalam lubang induk dan semua pemain akan memangkah guli tersebut. Cara kedua adalah dengan setiap pemain menjentik sekali seorang ke atas guli yang kalah itu jauh dari kawasan bulatan.

Wednesday, June 29, 2011

Permainan Galah Panjang

Cara bermain

Permainan ini dimainkan secara berkumpulan, iaitu dua kumpulan. Terdiri daripada kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Pemain terdiri daripada regu iaitu tiap-tiap regu mestilah mengandungi lima (5) orang pemain ( empat (4) orang pemain dan satu (1) simpanan ).

Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.

Sebelum permainan dimulakan, undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.

 

Thursday, April 14, 2011

Permainan Batu Seremban

Batu Seremban juga dikenali sebagai Batu Selambut. Permainan ini gemar dimain oleh kanak-kanak perempuan. Ia biasanya dimain secara berkumpulan – dua orang atau lebih. Objek-objek seperti guli, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain yang berbentuk bulat digunakan dalam permainan ini. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.





 Cara-cara Bermain




Buah Satu:

  • Kesemua buah hendaklah diselerakkan, berkeadaan semua buah tidak menyentuhi satu sama lain.
  • Sebiji buah akan dijadikan ibu, dan ibu itu harus dilambungkan ke udara.
  • Dalam masa yang sama, sebiji buah di atas lantai harus dikutip.
  • Perlakuan begini akan berterusan sehingga semua buah di atas lantai sudah dikutip,

Buah Dua:

  • Cara buah dua dimainkan ialah sama seperti buah satu.
  • Hanya dua biji buah harus dikutip dengan masa yang sama.
  • Ini bermakna, ibu akan dilambungkan sebanyak dua kali sahaja.

Buah Tiga:
  • Buah tiga ada sedikit perbezaan.
  • Pada lambungan pertama, hanya satu biji buah akan dikutip.
  • Lambungan yang kedua pula, tiga biji buah akan dikutip dengan serentak.

Buah Empat:

  • Buah ibu akan dilambungkan ke udara.
  • Pada masa yang sama, pemain harus mengutip kesemua empat biji buah yang berada di lantai dengan serentak.

Buah Lima:

  • Buah lima akan dimainkan seperti buah empat.
  • Pemain harus melambungkan buah ibu ke udara dan mengutip keempat-empat biji buah diatas lantai dengan serentak.
  • Selepas itu, buah ibu harus dilambungkan ke udara dan pada masa yang sama, empat biji buah yang ada di dalam tangan pemain harus diletakkan di atas lantai supaya hanya buah ibu sahaja yang akan disambut.

Buah Enam:

  • Pada peringkat yang ke-enam, pemain akan pendapat sedikit perbezaan.
  • Pada peringkat ini, pemain akan mendapat bahawa dua biji buah akan menjadi buah ibu.
  • Apabila sebiji daripadanya dilambung ke atas udara, sebiji lagi buah ibu harus ditukar dengan buah yang lain yang terdapat di atas lantai hingga selesai.

Buah Tujuh:

  • Buah tujuh adalah urutan daripada buah enam.
  • Dua biji buah yang ada di dalam tangan harus dilambungkan dengan serentak.
  • Selepas itu, hanya satu biji buah  yang akan dikutip.
  • Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua-dua belah tangan.
  • Satu di tangan kiri, dan lagi satu di tangan kanan.
  • Pada akhirnya, buah ibu yang dilambung terakhir juga akan disambut.

Friday, March 18, 2011

Permainan Congkak

Congkak

Permainan congkak memerlukan dua orang pemain. Papan congkak dipernuat dari kayu yang berukuran 80cm panjang dan 18 cm lebar. Kadang-kadang papan congkak ini diukur dengan ukiran yang indah.

Papan congkak mengandungi 14 lubang yang dipanggil "kampung". Terdapat dua lubang besar di setiap hujung papan congkak. Lubang ini dipanggil "rumah". Permainan ini sangat digemari oleh kanak-kanak perempuan dan juga oleh wanita .


Cara bermain ialah;


Pusingan pertama:

 

 
  
(a) Kedua-dua pemain memulakan permainan serentak dengan memasukkan sebiji "buah" ke dalam setiap "kampung" sendiri dan seterusnya masukkan ke dalam "rumah". Seterusnya "buah" hendaklah dimasukkan ke dalam "kampung" lawannya. Jika ia singgah di kampung lawan yang tidak ada buah ia dikira mati.

(b) Jika buah terakhir singgah di kampung lawan yang mempunyai buah, maka ia boleh meneruskan permainan.

(c) Jika ia mati di kampung sendiri, bertentangan dengan kampung lawan yang mempunyai buah, ia berhak mengambil buah lawannya itu.

(d) Sekiranya ia mati di kampung sendiri setelah melalui kampung lawan dan didapati di kampung lawan tidak ada buah, maka ia mati dalam kerugian.

(e) Di akhir permainan buah hanya tinggal beberapa biji sahaja dalam kampung masing-m,asing. Mereka dikehendaki berjalan tapak secara serentak menuju ke arah rumah masing-masing. Sekiranya salah seorang kehabisan buah dalam kampung ianya dikira kalah.



Pusingan kedua:


Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.

Thursday, May 27, 2010

Jenis-jenis Permainan

1) Permainan Congkak
2) Batu Seremban
3) Bulu Ayam
4) Permainan Teng-teng
5) Sepak Raga
6) Guli
7) Permainan Galah Panjang
8) Tuju Pot
9) Konda Kondi

Monday, May 17, 2010

Objektif Penubuhan Kelab Permainan Tradisional

Objektif penubuhan kelab ini ialah:

1) Memberi pendedahan kepada murid-murid tentang permainan tradisional
2) Memelihara permainan tradisional agar tidak dilupakan begitu sahaja
3) Menyuburkan semangat 1 Malaysia.
4) Memupuk kesedaran perlunya menjaga kesenian dan kebudayaan bangsa Malaysia
dikalangan murid.